Sunday, October 18, 2009

'Sempurna' Nama mu....

Salam..... 17 Oktober 2009 merupakan hari-hari biasa yang dilalui bermula dengan rutin pagi bersarapan dengan isteri dan anak-anak. Memang sudah ada cetusan 'rencana' untuk ke Daerah Sempurna pada hujung minggu ini, lebih-lebih lagi 'abang Hadi', anak saya yang sulung balik bercuti bersama-sama kami sekeluarga. Peluang ini saya fikir sesuai untuk membawa mereka ke satu tempat yang agak jauh dan boleh bersantai bersama-sama mereka. Jadi kami pilih Sempurna!!!

Perjalanan dimulai seawal 12.15 tengah hari dengan harapan untuk sampai ke Sempurna sebelum jam 3.00 petang. Malangnya, kereta kami telah tersadai di Shell Batu 3 Jln Apas kerana masalah bateri. Selepas usaha untuk membaikinya tidak berjaya, saya mengambil keputusan untuk menggantikan bateri baru saja. Sekali lagi kereta tidak dapat dihidupkan. Walau dengan bateri yang baru. Mungkin cas bateri telah nyah kerana tempoh masa. Saya menghubungi saudara Sainudin untuk datang membantu dan bawa bersama-sama kabel 'jumper' untuk menghidupkan injin kereta menggunakan kaedah 'jumper' dari kereta ke kereta. Entahlah apa ayat yang sesuai untuk kaedah ini. Akhirnya, masalah kereta dapat di atasi dan kami sekeluarga meneruskan perjalanan sekitar jam 2.15 petang. Perjalanan sejauh 120 km dengan cuaca panas di luar menyebabkan anak-anak cepat terlena dalam kereta. Satu persatu dari mereka lena dibuai mimpi masing-masing. Saya terus memandu dengan ditemani oleh lagu-lagu raya yang sengaja saya pasang dalam pemain cekera padat. Orang bilang CD Player!!! Kami sampai di Sempurna hampir jam 4 petang dan terus ke Hotel seafest untuk daftar masuk. Saya sudahpun membuat tempahan awal untuk satu bilik. Ya bilik 304 ditingkat 3 kerana disitu juga letaknya 'swimming pool' hotel berkenaan. Anak-anak terus mengambil peluang untuk mandi manda sementara saya dan isteri ke pekan untuk mencari sedikit 'tit-bit' untuk malam nanti.

Melewati waktu petang di Pekan Sempurna mengingatkan saya kepada Kota Parapat di pinggir Danau Toba yang saya lawati pada tahun 1989 dulu. Parapat juga disebut sebagai Kota Tourist. Ya, sesuai dengan aktiviti ekonomi yang dijalankan di sana. Jadi Sempurna harus menjadi Kota Pelancung untuk Negeri di bawah bayu. Kehadiran pelancung ke pekan ini dapat dilihat di mana-mana saja. Sudah tentu mereka ini kebanyakkannya dari negara-negara yang mempunyai musim sejuk. Secara peribadi saya fikir pihak Majlis Daerah Sempurna dan Pihak Kerajaan Negeri Sabah gagal untuk mengeksploitasi potensi Pekan Sempurna sebagai Kota Pelancung!! Anugerah Tuhan kepada Sempurna tidak dapat tonjolkan secara maksimum kerana selain Pekan itu tetap kotor, kemudahan dan prasarana tetap berada dalam kelasnya sendiri. Kelas satu bintang.

Saya teringat omongan saya dengan kawan-kawan yang bekerja dengan Majlis Perbandaran Tawau beberapa ketika dulu bahawa ahli Majlis patut dilantik dari kalangan orang yang mempunyai keupayaan untuk menjana pendapatan mengikut fungsi masing-masing. Tidak kira lah dia dilantik menerusi saluran politik atau sebaliknya. Sebabnya, mereka selalu mengatakan pihak majlis tidak mempunyai wang. Tidak cukup dana. Justru, secara perbandingan saya terfikir adakah ahli Majlis Daerah Sempurna ini cukup pandai untuk menjana dana dari potensi yang ada dan bagaimana untuk memakmurkan pekan ini dan menjadikan ia bertaraf Bandar Pelancung. Mungkin juga ada yang telah berusaha dan disebabkan halangan dana maka usaha tersebut agak terbatas. Apapun saya mendoakan suatu hari nanti, Pekan Sempurna akan menjadi lebih bersih dan dibina prasarana serta aktiviti-aktiviti ekonomi yang menyokong industri pelancungan di sini. Sejujurnya, sebagai pengunjung saya masih beranggapan Sempurna masih terkebelakang dan berada pada standard 2/10, kalau 10/10 adalah terbaik.... tapi siapa lah saya untuk mengukur semua itu? Tepuk dada tanya selera.

Pada 18 Oktober 2009, keesokkan harinya, dalam perjalanan pulang saya sempat ke Kg. Tampi-Tampi dan singgah di 'Mayuki' Resort. Penduduk di sana bilang 'Filem Duyung' difilemkan di sini. Saya agak teruja seperti juga anak-anak bila memikirkan di sini Maya Karin dan Apek 'berkubang' sepanjang filem ini dibuat. Sebaik sampai ke persimpangan masuk ke resort berkenaan dari jalan utama, hati saya berderau kerana jalan masuk berlopak dan 'luar jangka' sama sekali memikirkan status resort tersebut sebagai lokasi filem yang agak popular juga pada masa itu. Walaupun jalan masuk dalam 200 meter sahaja tetapi seperti mencerminkan cara bagai mana resort tersebut diuruskan. Sekali lagi saya tertanya-tanya kenapa potensi Sempurna sebagai lokasi pelancungan tidak diuruskan oleh mereka yang berfikiran kelas dunia!! Arghh, mungkin juga mereka kurang dana. Saya memujuk diri. Lebih kurang sejam di 'Mayuki' resort, saya mengajak anak-anak balik. Perjalanan panjang ke Tawau dengan cuaca panas dan melodi lagu-lagu 'pengantar' tidur berkumandang lembut dari radio yang diputarkan, membuat anak-anak terus lena sebaik saja melalui jalan Tagasan. Sempurna oh sempurna.... wajahmu tak sesempurna nama mu. Adios!!

Wednesday, October 14, 2009

Oh Burasa oh Nasi Likku...

Salam persaudaraan.... Baru-baru ini Persatuan Kebajikan Bugi Sabah (PKBS) Cabang Tawau telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya pada 11/10/2009 bertempat di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau. Begitu ramai yang hadir dan ramai pemimpin dan pemuka-pemuka bugis turut sama dalam majlis tersebut. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Osman Jamal, Presiden PKBS Sabah. Niat dan matlamat majlis seperti ini diadakan seharusnya diteruskan demi untuk memperkukuh silaturrahim. Tahniah PKBS Cabang Tawau dibawah pimpinan Hj. Ponren. Bila sebut nama Hj. Ponren, saya sentiasa teringat anak bongsu saya. Anak kecil saya itu amat menyukai nama Hj. Ponren. Tahniah juga kepada pimpinan PKBS Sabah kerana impian untuk melihat Dewan Pua Ado akan menjadi realiti selewat-lewatnya 2011. Alhamdulillah.

Hari ini, saya mendapat panggilan telefon dari sahabat saya di Kota Kinabalu. Katanya KECAPI akan adakan Sambutan Hari Raya pada 17/10/2009 bertempat di rumah saudara Ali Ahmad di Petagas (mungkin juga kg itu disebut Kg. Peringatan) sebelum Jambatan Petagas berhadapan dengan 'flyover' di hadapan Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Beliau minta saya hadir dan juga memberi sedikit sumbangan ikhlas bagi menjayakan program itu. Beliau seperti mengadu bahawa mereka masih perlu bantuan kewangan dan juga sumbangan bagi memastikan program tersebut berjaya. Saya tidak memberi apa-apa komitmen ketika itu dan perbualan telefon berakhir begitu saja. Kawan saya membuat susulan dengan sms dan 'bunyi'nya seperti orang yang hampa. Saya tersenyum sendirian kerana memikirkan KECAPI (Persatuan Komuniti Melayu Bugis Kota Kinabalu) masih lagi merangkak-rangkak berbanding 'abang'nya PKBS. Saya kemudian berfikir bagaimana dua persatuan yang didukung oleh anak bugis ini begitu berbeza dari segi kemampuan wang ringgit dan juga jumlah keahliannya. PKBS dengan Dewan Pua Ado bernilai 2.3 juta secara keseluruhannya berbanding KECAPI yang mau mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya pun masih mengharapkan belas dari ahli-ahlinya yang entah berapa orang saja termasuk saya sendiri.

Petang ini, selepas seharian bekerja di pejabat, walaupun amat letih saya masih boleh tersenyum sendirian mengingatkan bagaimana kawan-kawan saya di KECAPI belajar untuk menjadi 'pejuang' bangsa tulin atas nama persatuan dan 'Networking', berusaha merealisasikan program Sambutan Hari Raya yang sudah kali ke enam diadakan. Lima edisi sambutan sebelum ini tidak pernah mengecewakan. Sentiasa sukses dengan kehadiran rakan taulan dari pelbagai suku bangsa. Sudah tentu yang ramai dari kalangan kita juga, Bugis. Setiap kali menjayakan program ini, mereka seperti merangkak-rangkak mencari penaja dan berusaha menyediakan 'Bugis Delicacy' dan ada ketikanya mengimportnya dari Tawau. Saya masih teringat bagaimana 'kambang/gambang' pernah dititip dari Tawau melalui bas untuk juadah pada Majlis Hari Raya KECAPI yang ketika itu diadakan di rumah Pak Mustakim di Kg. Ketiau, Putatan. Begitulah mereka berusaha bersungguh-sungguh bila telah membuat komitmen. Ada juga yang memberi komitmen untuk menyediakan 'Nasu Likku' dan 'Buras/burasa' yang akhirnya terpaksa membuat temujanji dan 'transaksi' dengan macik-macik di Tebobon. Maklumlah mereka ini bangsanya bugis, tapi perlu pertolongan ibu-ibu di Tebobon untuk penyediaan 'Bugis Delicacy'. Apa yang ingin saya katakan, mereka ini sungguh kuat jati diri bugisnya dan sentiasa berusaha untuk menonjolkan diri sebagai 'La Ugi'. Demi kecintaannya terhadap bangsanya, sanggup berkorban tenaga dan masa. Dengan apa jua harga!!! Seketika, saya teringat Tuan Haji Samad, Pak Tadad, Pak Rustan, Pak Mohlis, Ibu Patma dan ramai lagi yang telah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit tanpa sedikit rasa cuak. Tidak pernah mengalah. Tidak sekali-kali.

Coretan ini hanyalah satu pernyataan peribadi untuk menggambarkan bagaimana dua Persatuan dari bangsa yang sama yang dipisahkan oleh jarak dan tempat tetapi saya kira masih mempunyai tujuan dan objektif yang sama. Dua persatuan ini jelas berbeza dari segi keupayaan wang ringgit dan juga keahliannya, tetapi tetap memberi impak yang besar terhadap masayarakat disekitarnya berdasarkan kapasiti masing-masing. KECAPI yang kerdil telah berjaya melewati usia 'kanak-kanak'nya sepanjang 6 Tahun ini dengan program-program hebat mereka. Mereka berjaya menempatkan diri mereka sebagai Persatuan berdaftar dengan program Sambutan Hari Raya kali ke-6, 'US Tour Challenge kali ke-5', Hari keluarga, 'Kontinjen Perbarisan Maulid nabi', Perbarisan Sempena Hari kebangsaan, Juara Sukan Hoki Pesta Konvo UMS, Program Keagaamaan, Wakil NGO dan sebagainya. Tahniah KECAPI.